Sunday, 25 August 2013

masjid yang dahulu gereja...WAW

Sabah negeri salib ataupun pusat gerakan Kristian di Malaysia itulah mungkin jolokan yang paling sesuai bagi negeri di bawah bayu ini. Siapa tidak mengenali Sabah dan tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun bahawa Sabah merupakan lubuk kepada perkembangan Kristian di Malaysia dan di Asia Tenggara. Berdakwah di Sabah merupakan satu pengalaman yang cukup berharga dan pengalaman yang diperolehi di sini tidak akan boleh diperolehi di tempat lain.


Benarlah apa yang selalu diperkatakann oleh guru-guru dari Semenanjung yang pernah berkhidmat di Sabah, ingin menimba pengalaman dan ilmu dakwah datanglah di Sabah, segala-galanya akan ditemui di Sabah. Ingin menjadi seorang pendakwah di bidang ilmu perbandingan agama, ingin berdebat, dan menjadi pendakwah yang nekad datanglah di Sabah segalanya ada disini.




bekas gereja yang kini menjadi masjid




Sekarang saya berada di Sabah, balik bercuti di negeri kelahiran sambil menjalankan kempen dakwah 'jom masuk agama Islam'. Satu program dakwah yang telah lama dirancang dan alhamdulillah dapat juga di lakukan walaupun banyak halangan yang terpaksa di harungi.Halangan kewangan, tenaga dan masa cukup mencabar bagi diri saya untuk meneruskan kempen dakwah tersebut seorang diri. Ketika saya mengiklankan program dakwah ini di dalam facebook, tidak ada seorang yang tampil untuk membantu yang ramainya mereka yang memberikan komen terhadap iklan program yang telah dirancang. Saya teringat pesan seorang pensyarah saya di KUIS pada suatu ketika dahulu "Ikhwan orang yang terjun di medan dakwah merupakan golongan yang dipilih oleh Allah SWT dan anta kena bersyukur kerana terpilih". Itulah kata-kata semangat yang sentiasa saya ingati ketika menerima ujian di dalam medan dakwah.


Pada 16hb/11/2011, saya bertolak dari LCCT ke Kota Kinabalu. Destinasi pertama yang saya tujui ialah daerah Keningau. Seminggu sebelum balik ke Sabah saya telah dimaklumkan oleh sahabat saya saudara Sufian Bin Awang, lokasi ceramah pertama saya ialah di Masjid Taqwa bandar Keningau. Saudara Sufian merupakan sahabat lama saya ketika belajar di sekolah Pondok Darul Bayan di Terengganu pada suatu ketika dahulu. Dan ketika sampai di Keningau kebetulan sahabat seperjuangan di KUIS saudara Safaruddin turut berada di Keningau. Mereka berdualah yang banyak membantu saya di dalam program dakwah tersebut. Seperti yang telah dirancang alhamdulillah saya berjaya memberikan ceramah di masjid tersebut dengan tajuk ceramah yang saya bawa ialah "Islam agama fitrah".


Sepanjang dakwah yang saya jalankan di Keningau apa yang dapat saya simpulkan ialah betapa penduduk Islam di sana amat dahagakan ilmu agama. Sambutan yang mereka berikan amat menggalakan, walaupun saya tidak dikenali akan tetapi mereka cukup senang dengan kuliah yang saya cuba sampaikan. Respon yang mereka berikan melalui sahabat saya saudara Sufian, mereka cukup berpuas hati dengan cara penyampaian saya. Malah mereka ingin menjemput saya pula untuk memberikan ceramah motivasi kepada remaja supaya lebih berminat datang ke masjid. Walaupun saya tidak menerima apa-apa bayaran akan tetapi saya cukup gembira kerana dakwah saya diterima dan apa yang pasti selama saya berdakwah dimana-mana pun saya tidak pernah meminta sebarang bayaran.


Apa yang lebih menarik di sepanjang dakwah ini ialah, jauhnya remaja Islam terhadap masjid dan surau. Saya cukup sedih apabila mereka yang datang ke ceramah saya ialah semuanya golongan tua seolahnya orang-orang muda tidak akan mati dan hanya orang-orang tua sahaja yang akan mati dahulu itulah sebabnya kenapa mereka datang ke masjid dan surau. Mungkin inilah realiti umat Islam akhir zaman ini, Islam semakin asing di dalam kehidupan mereka.Benarlah apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW seribu tahun yang lalu:


Dari Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing”.H.R. Muslim


Masjid vs Gereja


Seperti di semenanjung isu pembinaan gereja yang agak banyak turut berlaku di Sabah. Cuma yang berlaku di Sabah telah lama berlaku berbanding di Semenanjung. Di Semenanjung pembinaan gereja yang agak banyak berlaku setelah kebangkitan penganut agama Kristian itu sendiri yang bermula pada awal tahun 90-an selepas pengharaman Darul Arqam. Di Sabah gereja boleh dilihat di mana-mana sahaja dengan begitu banyak. Di Semenanjung kita dapat melihat setiap 5 kilometer akan ada satu masjid atau surau akan tetapi di Sabah setiap 5 kilometer yang boleh dilihat ialah gereja dan bukannya masjid atau surau. Inilah realiti yang hanya berlaku di Sabah dan Sarawak.


Isu lambakan gereja yang banyak di Sabah bukanlah satu perkara yang serius bagi umat Islam, mungkin disebabkan kefahaman agama yang agak kurang menyebabkan mereka tidak terasa diancam oleh gereja walaupun pada hakikatnya umat Islam memang terancam dan diancam. Apa yang lebih menarik di Sabah ialah gereja di bina berdekatan dengan masjid ataupun surau. Di mana adanya masjid dan surau disitulah wujudnya gereja. Dan yang cukup mencabar umat Islam, gereja tersebut penuh dengan program ibadat Kristian sedangkan masjid dan surau terkadang sunyi daripada dikunjungi oleh penganutnya. Daripada Kota Kinabalu ke Keningau, Kota kinabalu ke Kudat sepanjang jalan dipenuhi dengan gereja.


Ramai umat Islam di Malaysia yang berpendapat penganut Kristian di negara ita sama seperti penganut agama Kristian di barat yang tidak kuat beragama. Pandangan tersebut sebenarnya agak tidak tepat, ini kerana pada saya sebagai bekas penganut agama Kristian penganut di negara ini lebih alim, fanatik dan agresif di dalam mengamalkan agama dan mengembangkanya kepada orang yang bukan beragama Kristian. Antara sebab berlakunya sedemikian ialah kerana pengaruh Islam itu sendiri, mereka cukup terasa terancam dengan perkembangan Islam dan untuk mengembangkan Kristian terhadap orang Islam, mereka mestilah menunjukkan agama Kristian itu lebih baik daripada agama Islam.




Gereja menjadi masjid


Di barat gereja menjadi masjid merupakan perkara biasa dan tidak ada yang peliknya. Akan tetapi di negara kita, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa di Sabah telah berlaku bagaimana gereja menjadi masjid. Inilah yang menarik minat saya sebenarnya, setiap kali balik ke Sabah saya akan singgah di masjid tersebut untuk menunaikan solat. Saya cukup kagum bagaimana gereja tersebut boleh menjadi sebuah masjid dan ini merupakan satu kemenangan besar bagi umat Islam di Sabah.


Masjid Bandar Kota Kinabalu merupakan bekas gereja Adventis (SDA). Penduduk Kota Kinabalu memanggilnya SDA, iaitu Seven Days Adventis.

Malah tulisan tentang SDA masih jelas kelihatan.Bekas gereja ini, dahulunya terdapat tanda salib di bahagian kemudian telah diganti dengan lambang bulan bintang. Dan inilah masjid pertama di Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.

Sejarah gereja ini bertukar menjadi masjid sejak tahun 1970an. Gereja itu telah dibeli oleh seorang dermawan Islam di sana dan diwakafkan kepada kaum muslimin. Sehingga kini masjid itu masih berdiri dan digunakan untuk beribadah.


Masjid yang terletak di atas bukit dan berdekatan dengan padang merdeka Kota Kinabalu wajib di kunjungi oleh para pendakwah yang ingin berdakwah di Sabah. Pertukaran dari gereja ke masjid merupakan satu motivasi besar bagi para pendakwah untuk menukarkan Sabah daripada jolokan negeri salib kepada negeri Serambi Mekah, Insyaallah.


Masa depan Islam di Sabah


Masa depan Islam di Sabah bergantung sepenuhnya dibahu umat Islam sendiri. Andainya umat Islam tidak ada perasaan sayang dan cinta terhadap agama anutannya maka tidak mustahil umat dan Islam akan tertindas di bumi sendiri. Sejarah telah merakamkan bagaimana Islam lenyap di bumi Sepanyol dan Filipina apabila umat Islam sudah tidak mencintai agamanya.

Esok saya akan meneruskan program dakwah di Bingkor yang merupakan kawasan ramainya penganut agama Kristian. Doa dan sokongan daripada para sahabat amat di perlukan di dalam menjayakan program dakwah ini. Selepas program di Bingkor saya akan meneruskan kempen masuk Islam di Sandakan dan pada 1hb/12 nanti saya akan kembali semula di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment